Keunikan Perahu Kolek Berwarna Warni Hanya Ada Di Negeri Kelantan



Keunikan Perahu Kolek Berwarna Warni Hanya Ada Di Negeri Kelantan | Mungkin ramai yang tak tahu akan kewujudan #PerahuKolek yang bercorak penuh, berwarna-warni dan terang. Ini tidak mustahil kerana perahu kolek ini sudah tidak banyak dan hanya terdapat di Kg Tanjung Kuala Sabak, Pulau Gajah Kota Bharu, Kelantan sahaja.

perahu kolek kelantan

Menurut dari nelayan setempat, dari beratus perahu kolek yang ada kini hanya tinggal 31 buah sahaja hasil dari sambungan minat anak-anak mereka yang menjadi nelayan dan menggunakan perahu tersebut untuk ke laut.

PERAHU KOLEK DI KELANTAN

Untuk pengetahuan korang, Perahu Kolek adalah sebuah alat pengakutan air bagi masyarakat melayu yang mempunyai pengaruh dalam tamadun melayu sejak beratus dahulu. Di negeri Kelantan, Perahu Kolek merupakan benda yang sangat bernilai yang merangkumi semua aspek kehidupan dan keturunan sejak berzaman lagi.

perahu kolek kelantan

Dalam masyarakat melayu dahulu, peranan dan fungsi perahu kolek sangat penting. Secara umumnya Perahu Kolek Kelantan merupakan koleksi warisan terpilih. la juga merupakan pengakutan air dan dikenali sebagai perahu berhias.

Menyentuh tentang hal sejarah penciptaannya pula, Perahu Kolek di Kelantan telah didatangkan khas dari wilayah Pattani di Thailand Selatan. Ia adalah bot pantai kecil, antara 10 dan 12.5 meter panjang, kepala dan ekor lebih tinggi daripada badan perahu. Pemilik dan nelayan setempat di Kelantan dikatakan sudah tiada lagi kepakaran yang mampu membina perahu kolek ini dari awal pembuatan sehingga akhir pembuatan.

Kepakaran mengecat perahu kolek juga tidak dapat menandingi hasil karya tukang cat dari wilayah Langkasuka. Perahu kolek juga dieja sebagai "Kolea" di Pattani, dikatakan mampu bertahan sehingga 30 tahun kerana ia dibuat 100% daripada kayu cengal yang terkenal dengan ketahanan terhadap suhu dan cuaca persekitaran setempat.

Motif Perahu Kolek Kelantan

Pada masa dahulu, perhiasan perahu merupakan perkara penting bagi nelayan yang memiliki perahu. Mereka sangat menitikberatkan kepada perhiasan perahu mereka sehingga ada yang sanggup membelanjakan wang yang besar untuk menghiaskan perahu mereka. Perhiasan pada perahu ini adalah pakaian kepada perahu tradisional dan menjadi kebanggaan setiap nelayan apabila memiliki perahu yang cantik.

Reka bentuk pada perahu ini adalah hasil gabungan gaya Melayu, Jawa dan Thai, dengan penekanan pada corak Thai. Hiasan ini disampaikan melalui teknik ukiran yang menarik dan lukisan yang cantik berwarna-warni. Apa yang dikatakan oleh nelayan setempat, pemilihan warna merah adalah warna yang wajib manakala dari segi motifnya pula lebih kepada motif flora, motif naga ataupun motif hanuman mengikut kesesuaian dan kehendak si pemilik.

perahu kolek kelantan
Motif hanuman vs naga pada bahagian "Bangau" perahu
Hal ini kerana perahu tersebut mendapat pengaruh daripada cerita mitos, lagenda dan simbolik masyarakat Melayu Kelantan. Perahu tersebut juga menggambarkan pengaruh falsafah, kepercayaan, ajaran Islam serta agama Hindu - Buddha dalam masa lalu atas faktor sejarah.

Motif fauna pada bangau perahu terkenal sebelum kemasukan agama Islam di rantau ini. Ketika zaman agama Hindu dan Buddha menguasai rantau ini, bangsa Melayu telah menerapkan unsur-unsur keagamaan dalam seni ukiran. Karakter dewa dari beberapa epik Hindu dan Buddha telah diambil dan diterjemahkan dalam seni ukiran. Motif burung gagak Sura digunakan untuk upacara diraja. Makhluk mitos seperti Garuda merupakan kenderaan Tuhan mengikut fahaman sebelum Islam. Setelah kemasukan Islam di rantau ini, motif-motif haiwan telah digarapkan dengan bijak dan hasil akhir ukiran tersebut menunjukkan motif berbagai rupa haiwan yang telah diabstrakkan.

Seni di atas perahu itu umpama “karya seni di atas ombak” dan dianggap sebagai seni kehidupan kerana perahu kolak bukan sahaja mempamerkan kehebatan reka bentuknya, tetapi juga merupakan alat utama yang digunakan oleh nelayan untuk mencari rezeki.

Perahu Kolek
Sumber : Buku Warisan Kelantan (XVI)
Selain dari keunikan corak dan motifnya, struktur perahu kolek juga terdapat banyak ragam hias yang unik. Antara struktur khas Perahu Kolek ialah Bangau, Caping, Okok, Dayung, Badan Perahu dan Linggi. Setiap dari struktur perahu yang unik ini mempunyai maksud dan fungsi yang tertentu.

Masyarakat melayu Kelantan pada ketika dahulu percaya bahawa Perahu Kolek merupakan simbol kedudukan sosial. Pada masa itu, Perahu Kolek ni digunakan untuk berlayar dan berdagang. Tapi kini, apa yang tinggal ianya digunakan oleh nelayan untuk mengutip hasil laut.


Pasar Nelayan Pulau Gajah

Perahu Kolek Kelantan
Hasil laut yang segar dari nelayan Perahu Kolek
Nelayan Perahu Kolek, juga dikenali sebagai nelayan 'balik hari' yang mana kebiasaannya mereka keluar ke laut seawal jam 3 pagi dan pulang ke jeti antara jam 2.30 petang ke 3.00 petang. Saban hari, kepulangan mereka ditunggu keluarga dan pembeli yang mahu dapatkan pelbagai jenis ikan segar. Hasil laut yang mereka dapat akan dijual di Pasar Nelayan Pulau Gajah.

Perahu Kolek
Pasar Nelayan Pulau Gajah
perahu kolek kelantan
Sotong mambang bersaiz besar
Jika korang ingin merasai pengalaman menaiki Perahu Kolek ni, korang boleh berkunjung ke Pasar Terapung di Cerana Villa, Pengkalan Datu yang diadakan pada setiap hari sabtu sekitar jam 9-12 tengahari. Jom sama-sama kita pelihara dan angkat produk pelancongan hebat ini sebelum ia hilang ditelan zaman.

Post a Comment

1 Comments

  1. memang cantik ya perahu kolek ni. satu kesenian dan budaya yang perlu diperkenalkan lagi kepada seluruh rakyat malaysia :)

    ReplyDelete