Movember | November Bulan Untuk Lelaki | Sedar tak sedar kita dah pun berada di bulan November. Bagi kaum lelaki, jangan lupa bahawa bulan November ini merupakan bulan kesihatan untuk kaum lelaki. Sehinggakan kita menggelarkan bulan ini sebagai Movember dengan huruf M merujuk kepada Men (Lelaki). Simbol bulan kesihatan lelaki setiap tahun adalah misai dan jambang; dimana kaum adam digalakkan untuk menyimpan dan dilarang memotong atau mencukur jambang mahupun misai atas tanda sokongan kepada kempen Movember. #NoshaveNovember
Kenapa terpaksa diwujudkan khusus sambutan bulan kesihatan lelaki ini? Ini kerana, dengan semangat kempen yang diadakan oleh ahli perubatan dan pelbagai pihak, ia boleh membantu sedikit sebanyak memberi satu perangsang motivasi supaya setiap lelaki cakna tentang kesihatan diri.
Fokus utama kempen kesihatan lelaki yang dimaksudkan adalah saringan kanser. Tiga kanser utama yang boleh menjadi punca masalah dan kematian terhadap lelaki. Saringan awal amat perlu bagi meningkatkan pengesanan dan boleh dilakukan intervensi lebih awal. Jika sudah terlambat, hanya menunggu saat ajal sahaja.
Kesedaran Terhadap Penyakit Kanser Lelaki
Tiga jenis kanser tersebut adalah seperti berikut:
1- Kanser Kolorektal. Kanser ini terletak di usus yang bernama kolon dan rektum (sekitar 1.5 meter dari lubang najis). Kanser jenis ini adalah kanser yang biasa terjadi terhadap lelaki yang berumur 50 tahun ke atas. Tanda kanser Kolorektal ini adalah seperti berak berdarah, kecelaruan membuang air besar seperti adakala masa kesat membuang najis, adakala cair dan ianya berlarutan dalan satu tempoh yang membosankan.
Adalah dicadangkan agar setiap lelaki yang sudah mencecah umur 50 tahun, melakukan saring kolonoskopi (teropong kolon) setiap 5-10 tahun. Lelaki juga boleh melakukan saringan yang tidak invasif melalui pemeriksaan najis. Klinik kesihatan tertentu mempunyai fasiliti ini untuk melakukan ujian saringan. Silalah bertanya doktor anda di klinik-klinik.
2- Kanser prostat. Prostat adalah satu kelenjar kecil yang terdapat dibawah pundi kencing lelaki. Apabila masuk umur 50-an, lelaki mempunyai risiko menghidapi kanser prostat. Dikatakan 1 dari 9 lelaki akan berisiko kanser prostat dalam kehidupan mereka. Manakala kanser prostat adalah kanser pembunuh utama di Amerika Syarikat. Tiga tanda yang menunjukkan ciri-ciri seseorang itu disyaki menghidapi kanser prostat:
- Terasa ingin selalu kencing sedangkan pundi kencing tidak penuh.
- Apabila kencing, terpaksa digagahi meneran kerana air kencing sukar untuk keluar.
- Apabila sudah kencing, terasa tidak puas kerana masih berbaki air kencing dalam pundi kencing.
Jika dibuat ujian air kencing, kemungkinan mengandungi darah. Lelaki yang mempunyai tanda-tanda berkenaan sayugia menjalani pemeriksaan lanjut seperti pemeriksaan digital prostat dan ujian darah saringan kanser prostat. Sila bertemu dengan doktor anda untuk pemeriksaan secara terperinci dan berbincanglah dengan doktor.
3- Kanser paru-paru adalah kanser yang paling digeruni kerana ianya kanser yang paling kerap berlaku kepada lelaki. Punca utama kanser paru-paru adalah rokok. Semua ahli perubatan mengakuinya dan berkempen kepada seluruh umat supaya berhenti merokok. Namun hakikatnya manusia tetap degil dan terus melawan nasihat doktor. Apa nak kata?
Sempena dengan kempen Movember ini, marilah kita mengambil cakna tentang kesihatan lelaki. Kaum wanita juga boleh memainkan peranan dalam menyuruh suami agar berhenti merokok. Jika terdapat tanda-tanda kanser seperti yang dibincangkan di atas itu, nasihatkan suami dengan cara berhemah agar segera bertemu doktor.
Sekian nasihat dari suhazeli.com
Fb.Com/drsuhazeli
24.11.2018
Palu, Sulawesi
Sumber: Dr Suhazeli Abdullah
1 Comments
merokok memang berbahaya untuk kesihatan
ReplyDelete