FESTARI 2013 Membawa Satu Kelainan | Festival Tari Malaysia 2013 (FESTARI) | Malam kemuncak Festival Tari Malaysia 2013 (FESTARI) yang berlangsung pada 7 Disember lalu di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyaksikan kumpulan Anak Dalam Gading dari Sarawak menjuarai kategori Tradisional manakala Stop Reverse Crew dari Melaka bagi kategori Moden.
Kedua kumpulan itu masing-masing memenangi wang tunai RM10,000, trofi dan sijil penyertaan. FESTARI anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan disokong Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan sejak 1992 pada kali ini dipecahkan kepada dua kategori moden dan tradisional.
Sebelum ke pentas akhir, persaingan kategori tradisional terlebih dulu menyaksikan lapan kumpulan bersaing pada 5 Disember lalu manakala lapan kumpulan lagi bersaing dalam kategori moden pada 6 Disember. Lokasi kedua-dua acara itu turut diadakan di Auditorium DBKL.
Acara FESTARI 2013 juga dimeriahkan dengan persembahan Noraniza Idris, One Nation Emcees dan kumpulan tarian terkenal, Wakaka Crew. Tak ketinggalan persembahan daripada ASWARA Dance Company, kumpulan Kesenian JKKN Ibu Pejabat, Wilayah Persekutuan KL dan Selangor.
Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli, berkata pihaknya amat menggalakkan karyawan seni tempatan untuk terus berkarya dan bereksprimen di samping membantu memberi nilai tambah terhadap penciptaan kreativiti sejajar arus pemodenan dunia.
"FESTARI kali ini membawa satu kelainan dengan memberi peluang kepada generasi muda untuk menyerlahkan bakat bukan saja dalam bidang tradisional seperti kelazimannya malah memberi peluang untuk mendedahkan bakat dalam genre tarian moden seperti Street Dance, Hip Hop, Ballet, Kontemporari, Jazz, Line Dance, Tap, Bally, Lyrical Dance dan banyak lagi genre tari moden lain yang bersesuaian," katanya.
1 Comments
wah! serius macam best persembahan. gambar cantik :)
ReplyDeleteKalau ada masa, join la giveaway ni, sambil-sambil promote malaysia :)
http://sayaiday.blogspot.com/2013/12/virtualmalaysiacom-promotes-vmy-2014.html