[SUKAN] Andik Vermansyah digelar Messi Indonesia | Bola Sepak Indonesia

[SUKAN] Andik Vermansyah digelar Messi Indonesia | Bola Sepak Indonesia |  Walaupun hanya mempunyai ketinggian 1.63m Andik Vermansyah beliau berjaya memukau peminat tempatan dan digelar sebagai  ‘Messi Indonesia’

Berada di ranking ke-162 dunia, Indonesia mungkin tidak boleh sama sekali dikaitkan dengan juara dunia dua kali, Argentina dalam sukan bola sepak tetapi setidak-tidaknya, mereka mempunyai sedikit persamaan - melahirkan bintang bola sepak bertubuh kecil.

Andy Ramang dan Bambang Pamungkas pernah memukau peminat bola sepak Asia juga dunia menerusi larian pantas dan skil hebat meskipun mempunyai susuk tubuh yang kecil.

Baru-baru ini, Andik Vermansyah, 21, memukau peminat tempatan walaupun hanya mempunyai ketinggian 1.63m malah media negara itu turut membandingkan aksinya dengan bintang Argentina dan Barcelona, Lionel Messi hinggakan dia turut digelar ‘Messi Indonesia’.

“Saya tidak tahu bagaimana gelaran itu boleh timbul,” kata Andik ketika menghadiri sesi percubaan dengan kelab Jepun, Ventforet Kofu.

“Secara jujurnya, ia memberi banyak tekanan terhadap saya. Saya bukannya Messi. Messi pemain yang hebat. Saya masih perlu bekerja keras dan melakukan yang terbaik untuk menjadi pemain lebih baik.”

Begitupun, ia bukan bermakna Andik kurang keyakinan. Jelas sekali dia sedar apa yang mampu dilakukannya memandangkan pencapaiannya sepanjang tujuh tahun pembabitannya dalam bola sepak sering dicemburui.

Andik yang berasal dari Jember, Jawa Timur bermula dengan skuad remaja Persebaya pada 2005. Pemain remaja itu tidak mengambil masa yang panjang untuk menyerlah dalam kejohanan tempatan apabila membantu pasukannya meraih gelaran Liga Remaja dua tahun kemudian.

Pada usia 17 tahun, dia diserap ke dalam pasukan utama Persebaya, di mana dia menjaringkan 12 gol dalam 47 perlawanan. Satu rekod yang baik bagi pemain baru dan muda sepertinya.

“Kekuatan utama saya adalah kelajuan, gerakan pantas dan menggelecek,” kata pemain yang diminati penonton kerana kelincahan, kepantasan dan muslihatnya di padang.

Malah David Beckham juga antara legenda yang memuji bakatnya. Selepas perlawanan persahabatan di antara Pilihan Indonesia dengan Los Angeles Galaxy pada November 2011, di mana bekas kapten England itu bersaing dengan Andik, Beckham kemudiannya bertukar jersi dengan pemain muda itu.

Selepas perlawanan itu, Beckham berkesempatan untuk bercakap dan mengucapkan tahniah dengan pemain muda itu atas persembahannya.
“Ia memberi peluang kepada media membuat laporan meluas mengenainya. Syukur, selepas pertemuan itu saya menjadi lebih popular dan sudah pastilah kata-kata Beckham meningkatkan keyakinan saya.”
Tahun itu juga turut me­nyaksikannya me­nyertai skuad bawah 21 Indonesia. Dia segera mencipta impak dalam perlawanan antarabangsa di Brunei pada 2012 apabila menjaringkan lima gol manakala skuad remaja Indonesia menduduki tangga kedua dalam kempen merebut Trofi Hassanal Bolkiah membabitkan 10 pasukan.

Pencapaiannya terus meningkat dan dipanggil menyertai skuad senior pada tahun sama. Dia menyerlah dalam Piala Suzuki AFF 2012, menjaringkan gol kemenangan ke atas Singapura yang akhirnya muncul juara meskipun Indonesia gagal melepasi peringkat kumpulan.

Dia tiba di Jepun awal bulan lalu untuk menjalani ujian dengan Ventforet.

“Saya berharap dapat berpindah ke Liga J biarpun semuanya terserah kepada tuhan dan sama ada pengurus Ventforet memutuskan untuk mengambil saya,” katanya.

“Ini adalah sebuah kelab hebat dan saya rasa dialu-alukan di sini. Tahap permainan begitu tinggi di Jepun, aksinya padat dan lebih pantas. Anda pula tidak mempunyai ruang mencukupi untuk menggelecek bola seperti di Indonesia. Saya percaya akan lebih meningkat jika terus bermain di sini.”

Sumber Berita 

Post a Comment

0 Comments