[BERITA] Villa Nabila: Hanya Seorang Tak Pulang | Heboh dah satu Malaysia tentang kehilangan sekumpulan remaja yang masuk ke Villa Nabila. Pengesahan telah dibuat bukan 23 REMAJA HILANG DI VILLA NABILA [klik] tetapi hanya seorang.
JOHOR BAHRU - Bagaikan pesta keramaian, sebuah banglo tinggal di Jalan Skudai, di sini, dikerumuni orang ramai setelah tersebar berita yang mendakwa sekumpulan 30 remaja dilaporkan hilang selepas memasuki rumah agam itu, awal pagi kelmarin.
Tujuh daripada mereka didakwa ditemui, manakala baki 23 lagi masih hilang.
Peristiwa pelik ini dikaitkan dengan fenomena paranormal di kediaman dikenali Villa Nabila.
Ia sudah menjadi viral di laman sosial dalam pelbagai versi, sekali gus mengundang rasa ingin tahu dalam kalangan penduduk sekitar.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Abdul Samad Salleh, bagaimanapun, menafikan dakwaan kehilangan sekumpulan remaja berkenaan.
Bagaimanapun, beliau mengesahkan menerima satu laporan daripada seorang wanita berusia 39 tahun dari Majidee, di sini, yang mengatakan anaknya gagal pulang ke rumah, sejak Sabtu lalu.
Menurutnya, pengadu itu menyatakan pada Sabtu lalu, jam 3.30 petang, anak lelakinya, Mohamad Izzat Izzudin Hussin, 16, keluar bersama rakan ke bandar raya ini.
Selepas mendapati anaknya itu belum pulang, wanita tersebut bertindak menghubungi rakan anaknya.
“Pada Ahad, kira-kira jam 7.30 malam, ibu remaja itu dihubungi seorang kenalan anaknya yang memberitahu remaja itu bersama rakan-rakannya telah masuk ke Villa Nabila,” katanya.
Abdul Samad berkata, gerakan mencari dilancarkan, melibatkan anggota polis, bomba dan penyelamat serta Unit Pengesan Anjing (K9), tetapi mereka gagal menemui sesiapa pun di kawasan itu.
Mengulas pelbagai spekulasi dan versi cerita berkaitan di laman sosial, Abdul Samad menegaskan, individu terlibat diminta tidak menyebarkan berita yang tidak dapat dipastikan kesahihan sumber dan orang ramai dinasihatkan tidak mempercayai ia secara melulu.
“Ia bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah mendatangkan kegusaran dalam kalangan orang ramai,” katanya.
Usaha mendapatkan ibu Mohamad Izzat gagal kerana dia difahamkan enggan ditemu bual sebaik keluar dari Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, kira-kira jam 2.30 petang, semalam.
Pelbagai versi kehilangan
Sementara itu, Sinar Harian berkesempatan mendapatkan dua daripada tujuh remaja yang dikatakan berjaya keluar dari villa yang ditinggalkan hampir 70 tahun lalu.
Megat Irfan Abdullah Shariman, 16, berkata, dia menyertai rakan lain memasuki villa itu pada jam 12.30 tengah malam (hari Sabtu malam Ahad) untuk melepak.
Menurutnya, ketika di villa itu, beberapa rakan diserang histeria dan mereka bergegas turun kira-kira 20 minit kemudian.
“Kami seramai 30 orang sempat berkumpul dan bersama-sama ke Masjid Kolam Air, untuk mendapatkan bantuan, kemudian bersurai,” katanya.
Dia berkata, dia tidak kenal mangsa yang dilaporkan hilang.
Junaizi Rafifi Jamaluddin, 13, berkata, ada dua kumpulan ke villa itu pada malam tersebut.
Jelasnya, dia bersama lapan orang lagi berkumpul di luar dan ketika itu satu kumpulan lain sudah pun masuk.
“Kami masuk sekitar jam 12.30 tengah malam, untuk merakam video (tentang) apa yang ada di kawasan itu sebelum salah seorang rakan perempuan jatuh dan dirasuk.
“Selepas itu, kami semua keluar dan dimaklumkan ada rakan lelaki yang keciciran, tapi saya tak pasti (siapa),” katanya.
Villa Nabila lokasi misteri
Kawasan Villa Nabila yang terletak di atas bukit berkeluasan lebih kurang empat padang bola, mempunyai tiga rumah tinggal, dikelilingi hutan dan belukar serta muka bumi cerun.
Ia disenaraikan sebagai lokasi misteri berdasarkan satu kes pembunuhan yang berlaku 70 tahun lalu di sebuah daripada villa itu.
Kisah pembunuhan itu dikatakan menghantui setengah penduduk.
Barangkali disebabkan itu kawasan tersebut ditinggalkan meskipun kedudukannya strategik, iaitu menghadap Selat Tebrau.
Pesara tentera, Subhi Saad, 52, berkata, dia pernah pergi ke kawasan itu bersama rakannya, tiga tahun lalu dan percaya tempat itu ada kaitan dengan fenomena paranormal.
“Saya naik hingga ke tingkat tiga untuk meninjau, tapi tak jumpa sebarang perkara pelik.
“Cuma, ketika turun anak tangga, saya dan rakan terbau sesuatu yang sangat harum. Teringat pesan orang tua, kita tidak perlu menegur.
Saya dan rakan pun keluar tanpa mencari punca bau itu,” katanya.
Orang ramai teruja tinjau lokasi
Misteri kehilangan remaja itu yang menjadi topik hangat di laman sosial, mencetuskan perasaan ingin tahu masyarakat sekitar.
Berita itu yang mula tersebar sejak awal pagi semalam, semakin hangat diperkatakan sehingga mencetuskan kesesakan.
Jalan Skudai, yang menjadi laluan utama ke pusat bandar raya Johor Bahru dan ke Villa Nabila sesak dengan orang ramai yang mahu tahu apa yang berlaku di lokasi itu.
Tindakan setengah pengguna jalan raya memperlahankan kenderaan dan meletakkan kenderaan di sisi jalan memburukkan lagi keadaan kesesakan.
Tinjauan jam 3 petang semalam, masih ramai berdiri dan masuk ke kawasan villa itu, meskipun polis memasang pita melarang orang awam masuk.
Sumber Berita
3 Comments
tak tahu mna betul ni..haha
ReplyDeleteitu laa..bila berita tak sahih tersebar, semua pihak susah . apapun, villa tu memang menyeramkan .erkk
ReplyDeleteMudah2an segala kekusutan dpt dirungkaikan dgn sebaik2nya..
ReplyDelete